'Tiada Ruang Untuk Pemain Dari Luar' - AMMBOI.COM

TERKINI

Post Top Ad

Your Ad Spot

13 December 2010

'Tiada Ruang Untuk Pemain Dari Luar'

JURULATIH skuad bola sepak kebangsaan, K. Rajagobal menegaskan bahawa dia tidak berminat langsung untuk mengambil pemain import seperti dilakukan Indonesia dan Singapura semata-mata untuk mencapai kejayaan singkat.


Namun pengendali berusia 54 tahun itu masih membuka ruang buat pemain-pemain yang mempunyai darah Malaysia seperti Brendan Gan, Takashi Takeda, Nicholas Chan, Tham Sheang Sung atau Ash Hameed untuk tampil menyarung jersi skuad kebangsaan.




"Saya sama sekali tidak berhasrat mengambil pemain import seperti dilakukan Indonesia terhadap Christian Gonzalez dari Uruguay serta beberapa pemain asing yang turut diimport oleh Singapura.

Christian Gonzalez

"Bagi saya, kita tidak tahu sejauh mana semangat serta jati diri pemain-pemain luar ini untuk menyarung jersi Malaysia.

"Selain itu, tindakan mengambil pemain-pemain luar ini hanya akan menutup peluang buat pemain-pemain tempatan beraksi untuk skuad kebangsaan. Saya rasa ia tidak adil. Kita tak mahukan kejayaan dan penyelesaian jangka pendek.

"Apa pun, semuanya berbalik kepada proses pembangunan pemain-pemain muda. Dari situ saja kita akan dapat menghasilkan skuad kebangsaan yang bagus," kata Rajagobal, semalam.

Kosmo! semalam menyiarkan laporan tentang luahan seorang peminat bola sepak, Ghzalie Zali yang mengharapkan supaya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuka mata dan memantau perkembangan pemain-pemain negara yang menimba ilmu di luar negara.

Menurut Ghzalie, pemain-pemain seperti Brendan, Takashi, Nicholas, Sheang Sung atau Ash boleh menjadi aset kepada skuad kebangsaan, dan Malaysia akan kerugian andainya pemain-pemain tersebut hilang begitu sahaja.

Namun Rajagobal berkata, dia tetap perlu meneliti segala maklumat mengenai pemain-pemain tersebut terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan untuk memanggil mereka menjalani ujian bersama skuad kebangsaan.

"Kita tak boleh hanya semata-mata melihat aksi mereka menerusi rakaman video atau YouTube. Kita kena lihat betul-betul sama ada mereka sesuai dengan corak permainan kita, bincang dahulu dengan jurulatih dan kelab mereka serta beberapa perkara lain," jelasnya.

Brendan, 24, yang bapanya berasal dari Seremban, Negeri Sembilan kini mewakili kelab Sydney FC dan beraksi sebagai pemain tengah.

Takashi, 24, pula dilahirkan di Pulau Pinang dan kini bermain dalam Liga Jepun (Liga-J Divisyen 2) dengan kelab Fagiano Ogayama FC dan bermain di posisi pertahanan tengah dan bek kanan.

Nicholas, 19, adalah pemain tengah yang merupakan anak kepada pemilik kelab Cardiff City iaitu Datuk Chan Tian Ghee.

Sheang Sung pula berumur 15 tahun bermain di Liga J (Divisyen 2) dengan kelab FC Yokohama.

Manakala Ash, 13, yang berasal dari Selangor kini dikatakan telah mengikat kontrak selama 2 tahun bersama pasukan Queens Park Ranger (QPR).

Petikan : Kosmo!Online
Oleh WAN FAKHRUL BAKAR
fakhrul@kosmo.com.my

No comments:

Post Top Ad

Your Ad Spot