Budaya Seorang Tiga Telefon - AMMBOI.COM

TERKINI

Post Top Ad

Your Ad Spot

22 January 2011

Budaya Seorang Tiga Telefon

DALAM kepesatan pembangunan dunia teknologi hari ini, mereka yang tidak memiliki telefon bimbit akan dianggap sebagai ketinggalan zaman. Sama ada mahu dipercayai atau tidak, telefon bimbit telah mengubah secara total kehidupan sebahagian besar daripada kita.


Senario ini sudah lama sebenarnya disedari berlaku di dunia termasuk di Malaysia. Anak-anak muda hari ini lebih banyak menghabiskan masa melayan telefon bimbit sama ada blackberry mahupun iPhone.


Di Indonesia juga, fenomena yang sama dilihat berlaku. Pergi saja ke mana-mana pusat membeli-belah, telefon bimbit telah mengambil alih peranan sebagai rakan berbual.

Melayan laman-laman sosial seperti Facebook, Twitter dan sebagainya amat mudah dengan hanya memetik jari saja.

Itu belum lagi mengambil kira mereka yang memiliki lebih daripada sebuah telefon bimbit.

Di Indonesia, mereka yang memiliki tiga buah telefon bimbit merupakan satu perkara biasa.

Bahkan, kalau ada di kalangan kita yang memiliki hanya sebuah telefon bimbit, kita diketawakan mereka.

Pengalaman ini berlaku sendiri pada penulis beberapa hari terawal berada di negara ini.

Kebanyakan teman baru yang ditemui di sini mengakui, mereka harus memiliki lebih daripada sebuah telefon bimbit.

"Saya tidak akan senang hidup jika tidak membawa tiga telefon bimbit. Setiap satu ada peranannya yang tersendiri.

"Memiliki tiga buah telefon bimbit juga melancarkan jadual harian saya. Sebuah telefon saya dedikasikan untuk tujuan kerja, sebuah lagi untuk berkomunikasi dengan orang tersayang dan sebuah lagi untuk berhubung dengan keluarga," itu reaksi Febry Heriansyah, anak muda yang tidak pernah lekang daripada membelek telefon bimbitnya biarpun ketika berbual dengan temannya.

Kata Febry lagi, sebilangan besar teman-temannya juga mengakui ketiga-tiga buah telefon bimbit itu amat penting dalam hidup mereka.

Yang pasti, setiap seorang daripada mereka harus memiliki sebuah blackberry kerana telefon sedemikian memberi banyak manfaat kepada mereka dalam berkomunikasi setiap hari.

Mendengar apa yang diceritakan Febry, ia tentunya ada pertalian dengan satu laporan media yang menyebut pengguna Blackberry di Indonesia akan mencatat rekod sebagai negara terbesar pengguna terbesar telefon itu.

Pengguna telefon pintar itu sehingga pertengahan tahun 2009 sahaja menjangkau 400,000 pengguna.

Pengguna BlackBerry terbanyak dunia saat ini ada di Amerika Syarikat dan Kanada yang secara purata sebanyak sejuta pengguna.

Jangan sesekali ada yang terperanjat andai Indonesia akan mengambil alih kedudukan itu biarpun dari segi ranking ekonomi, Indonesia masih berada dalam senarai 86 negara termiskin di dunia.

Seperti yang disebut, alat komunikasi pintar tanpa sempadan ini telah mengubah struktur sosio budaya masyarakat dunia termasuk Indonesia.

Blackberry hakikatnya muncul sebagai telefon pintar yang sangat popular dan menjadi kegilaan ramai penduduk Indonesia.

Orang seperti Febry sebenarnya mengubah landskap kehidupan masyarakat di negara yang cukup padat dengan manusia ini.

Gaya hidup yang sofistikated harus menjadi pelengkap bagi kehidupan.

Lantaran terpengaruh dengan gaya hidup juga, ia menyumbang kepada kebimbangan para cendekiawan terhadap perkembangan penuntut universiti.

Lambang kemegahan gaya hidup seperti telefon bimbit, iPad, iPod, komputer riba, pakaian serta beg tangan berjenama telah mengubah minda dan persepsi mahasiswa.

Berdasarkan apa yang dilaporkan dalam sebuah akhbar baru-baru ini, mahasiswa era baru ini lebih mementingkan kuliah berakhir lebih awal bagi membolehkan mereka berbicara mengenai gaya hidup berbanding kepentingan ilmu yang diperoleh di universiti.

"Mahasiswa hari ini lebih asyik dengan isu-isu aksesori, bukan lagi isu-isu strategis," kata Ketua Lembaga Mahasiswa Institut Teknologi Bandung, Brian Yuliarto.

Keadaan ini amat jelas memperlihatkan perubahan yang berlaku semuanya di luar kotak pemikiran manusia.

Apabila teknologi berubah, dunia juga sekali gus berubah. Dan manusia juga berubah menjadi 'orang gila' - gila pada telefon bimbit!

Pernahkah anda membayangkan bagaimana reaksi mereka yang memiliki tiga buah telefon bimbit apabila ketiga-tiganya berbunyi serentak?


1 comment:

Hafiz! said...

Aku ada dua je,
Penting kot.
Satu maxis satu celcom.
Murah ckit nak call ke talian yang sama:)

Post Top Ad

Your Ad Spot