Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan Bajet 2012, yang akan dibentangkan di Parlimen pada 7 Oktober 2011, adalah inklusif, bertumpukan rakyat dan meningkatkan langkah-langkah transformasi. Ia akan menjadi satu lagi kejayaan ke arah merealisasikan Malaysia sebagai ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020, katanya. Perdana Menteri juga menyarankan agar semua pihak bekerja bersama-sama dalam memastikan usaha itu menjadi kenyataan. PM berkata usaha merangka Bajet 2012 sangat mencabar dan beliau menyeru agar semua pihak bangkit menyediakan pendekatan dan penyelesaian yang inovatif. Beliau berkata tumpuan adalah untuk melaksanakan usaha transformasi ke arah meningkatkan momentum pertumbuhan dan mengekalkan kesejahteraan rakyat.
Tahun lepas kerajaan memperuntukkan RM212 bilion untuk Bajet 2011, iaitu 2.8 peratus lebih tinggi berbanding Bajet 2010. Daripada jumlah itu, RM162.8 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan operasi dan RM49.2 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
Najib berkata kerajaan sudah menyediakan kerangka kerja dasar yang kukuh menerusi Model Baru Ekonomi (MEB) untuk mentransformasikan negara menjadi ekonomi berpendapatan tinggi yang inklusif dan mampan menjelang 2020.
Beliau juga berkata Rancangan Malaysia Kesepuluh menggariskan strategi-strategi jangka sederhana manakala Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) meletakkan asas yang kukuh untuk transformasi ekonomi dan kerajaan.
Perdana Menteri berkata inisiatif dasar ini diperkukuh menerusi prinsip 1Malaysia, dengan setiap rakyat Malaysia mempunyai tempat dan peranan dalam "perjalanan transformasi terhebat ini".
"Kini, kita perlu merealisasikan jangkaan-jangkaan yang terhasil menerusi kerangka kerja dasar ini.
Kata kuncinya ialah pelaksanaan. Saya memberi jaminan bahawa kerajaan komited untuk meningkatkan proses transformasi," katanya.
Najib juga bangga terhadap kemajuan besar yang dicapai menerusi GTP dan ETP.
Beliau berkata GTP menghasilkan keputusan yang ketara dalam mengurangkan jenayah, kemiskinan dan rasuah, selain meningkatkan akses kepada infrastruktur asas, keputusan pendidikan dan pengangkutan awam bandar.
"Walaupun kita bangga terhadap pencapaian ini, banyak lagi yang perlu dilakukan. Dalam hubungan ini, kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk melaksanakan enam bidang keberhasilkan utama negara (NKRA) untuk rakyat," katanya.
Mengenai ETP, Najib berkata sejak pelancarannya pada 25 Okt tahun lepas, 54 projek permulaan (EPP), yang merupakan 41.2 peratus daripada keseluruhan 131 projek, sudah memulakan operasi.
"Pelaburan berjumlah RM106.4 bilion dijangkakan meningkatkan Pendapatan Negara Kasar (PNK) sebanyak RM153.8 bilion dan mewujudkan 298,865 peluang pekerjaan.
"Ia merupakan pencapaian yang ketara dalam tempoh yang pendek dan momentum itu perlu dikekalkan," katanya.
Beliau berkata selain itu, pelaksanaan projek Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT), serta aktiviti pelaburan yang semakin meningkat di koridor-koridor wilayah, terutama di Iskandar Malaysia, akan membantu mengekalkan momentum pertumbuhan.
"Kita berjaya menangani kelembapan ekonomi dunia. Ekonomi pulih dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 7.2 peratus pada 2010, melepasi unjuran awal sebanyak 7.0 peratus," katanya.
Najib berkata prestasi pertumbuhan yang menggalakkan ini disokong oleh aktiviti ekonomi domestik yang pesat.
"Bagi 2011, kita berusaha untuk mencatat pertumbuhan 6.0 peratus," kata Perdana Menteri, dan menambah "cabaran terus wujud".
Mengenai faktor luaran, krisis di Timur Tengah dan Afrika Utara terus menjejaskan pasaran minyak mentah dunia, dengan gangguan bekalan telah meningkatkan harga makanan dan komoditi lain.
"Inflasi tolakan kos semakin meningkat dan merupakan cabaran besar kepada banyak negara, termasuk Malaysia.
"Krisis hutang negara di beberapa ekonomi di Eropah menimbulkan risiko penurunan terhadap kestabilan kewangan dunia, dan pemulihan ekonomi di negara maju terus perlahan manakala Jepun perlu melaksanakan pembangunan semula besar-besaran selepas malapetaka tsunami serta krisis nuklear," katanya.
Sementara itu di dalam negara, Najib berkata sumbangan pelaburan swasta terhadap KDNK masih rendah, sebanyak 10.7 peratus pada 2010 berbanding 30.3 peratus sebelum krisis kewangan Asia pada 1997/1998.
"Kita perlu meningkatkan hubungan pelaburan dan perdagangan dengan negara yang pesat berkembang di Asia, terutama China dan India.
"Kita perlu mengukuhkan kemahiran dan pengetahuan modal insan kita supaya dapat menyokong ekonomi baharu," katanya.
Perdana Menteri berkata kerajaan akan memastikan daya saing Malaysia terus kukuh, dengan memberi tumpuan terhadap aktiviti bernilai tambah yang tinggi dan produktiviti, dan pada masa yang sama memperkukuh dan memastikan persekitaran yang menggalakkan inovasi dan kreativiti.
Dalam hubungan ini, katanya kerajaan akan memberi tumpuan dalam membantu perusahaan kecil dan sederhana yang inovatif dan meluaskan akses kepada risiko modal terutama pada pembiayaan peringkat awal.
Mengenai kedudukan fiskal, Najib berkata pengurusan kewangan berhemat perlu dilaksanakan bagi memastikan kemampanan fiskal.
Perdana Menteri juga berkata kerajaan komited sepenuhnya dalam memastikan rakyat menikmati kualiti hidup yang lebih baik.
"Walaupun secara mayanya kita sudah membasmi kemiskinan tegar, kita perlu menangani kemiskinan di Sabah dan Sarawak serta kemiskinan bandar.
"Cabaran baharu, termasuk peningkatan kos hidup dan perumahan mampu milik, terutama di kawasan bandar, manakala peningkatan kos menyediakan perkhidmatan kesihatan, akan ditangani segera," katanya.
Dalam hubungan ini, Najib berkata kerajaan akan terus melaksanakan inisiatif bagi menangani impak peningkatan harga makanan selain memudahkan bekalan perumahan.
PETIKAN YANG DI EDIT SEDIKIT DARIPADA : BERNAMA
2 comments:
oktober masih lama juga gan ya
semoga berjaya
mampukah kita nak dok di malaysia ni lg ..
Post a Comment