Atas kertas memang sukar


BERDASARKAN reputasi, skuad bola sepak Malaysia mungkin tidak sehebat Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dalam bola sepak Asia.
Dalam kedudukan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) awal bulan ini skuad negara berada di ranking ke-158 dunia (29 Asia) berbanding UAE yang menduduki tempat ke-114 dunia (13 Asia).
Malah, reputasi bekas juara Piala Negara-Negara Teluk 2007 itu juga amat menakjubkan apabila pernah beraksi dalam Piala Dunia 1994 di Amerika Syarikat.
Begitupun, bagi kapten baru skuad negara, Norhafiz Zamani Misbah, reputasi negara pengeluar minyak dunia itu tidak sedikit pun mendatangkan gentar.
Menurutnya, reputasi dan pencapaian tersebut tidak memberi sebarang makna kepadanya kerana dia yakin skuad bimbingan B. Sathianathan itu tidak akan tunduk dengan mudah pada pertemuan pertama kempen Kelayakan Piala Asia 2011 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam esok.
"Saya akui pemain UAE memang memiliki keupayaan yang bagus dari segi kemahiran, kelincahan dan taktikal di atas padang," kata Norhafiz selepas menjalani latihan skuad kebangsaan di padang FAM Kelana Jaya semalam.
"Berdasarkan ranking, mereka mungkin lebih bagus daripada kita. Tapi saya rasa itu tidak bermakna kami akan duduk dan menunggu mereka menyerang kami begitu saja. Kami juga memiliki beberapa pemain yang mampu mencipta kejutan.
"Jadi, selagi kami bermain seperti apa yang diarahkan jurulatih, saya rasa peluang kami ialah 50-50. Tidak mustahil kami juga mampu mencipta kejutan malam itu nanti (malam esok)," ujar pemain pertahanan KL Plus itu.

Menurutnya, skuad negara juga perlu menggunakan kelebihan beraksi di hadapan peminat sendiri untuk mengutip mata pertama negara dalam kempen tersebut.
"Memang, kalau boleh kami mahu mencatat kemenangan ke atas UAE. Ini penting kerana ia bakal memberi keyakinan dan penyuntik semangat untuk meneruskan baki kempen ini.
"Oleh itu saya harap dengan kelebihan bermain di tempat sendiri dan juga dengan sokongan peminat negara, kita mampu mencipta kejutan sekurang-kurangnya mencatat seri dengan UAE," katanya.

Norhafiz diberi tugas menggalas peranan kapten buat kali pertama tahun ini ekoran ketiadaan perancang Negeri Sembilan, Shukor Adan yang mengalami kecederaan.
"Saya anggap peranan yang diberikan ini sebagai satu penyuntik semangat kepada saya untuk mengetuai rakan-rakan menggempur kubu UAE.
"Walaupun kami agak terasa kehilangan Shukor, tapi saya rasa kami juga memiliki beberapa pemain yang mampu menggalas tugasnya sebagai perancang.
"Dengan kehadiran semula penjaga gol berpengalaman, Syamsuri Mustafa, saya rasa gawang kita mungkin semakin sukar untuk ditembusi," katanya lagi.
>>PETIKAN KOSMO! ONLINE

No comments:
Post a Comment